Nostalgia di Cameron Highlands

Bandar Brinchang, Cameron Highlands (2022 September 29)

2022 Sept.29(Khamis)

🇲🇾 Sejak tahun 2006, ini adalah kali ketiga Acik dan isteri menginap di hotel di CH (Cameron Highlands). Sebelum ni, jika datang ke CH kami menginap saja di homestay yang kami miliki. Homestay tersebut letaknya di Puncak Arabella, Tanah Rata.

Tapi kini kami tak boleh lagi menginap di homestay itu sebab ia telah kami jadikan rumah sewa bulanan. Ia disewa oleh sepasang anak muda yang baru mendirikan rumah tangga. Demi membantu mereka berdua yang sangat berhajatkan sebuah rumah sewa, maka itulah satu sumbangan yang mampu kami lakukan.

C. Highlands tak macam dulu lagi

Masa Acik dan keluarga baru berhijrah ke CH ini dahulu, rasanya sangat seronok tinggal di sini. Itu dalam tahun 2006. Waktu tu jalan ke CH dari bawah (kaki bukit) hanya dua batang. Iaitu dari Tapah dan dari Simpang Pulai saja. CH ketika itu sangat selesa dan kondusif untuk menjadi tempat bermustautin.

Tapi sekarang ini jalan naik ke CH dah menjadi empat batang. Dua jalan baru itu ialah dari Gua Musang (Kelantan) dan dari Raub (Pahang). Kedua-dua jalan baru itu menyebabkan bilangan kenderaan pengunjung meningkat dengan mendadak.

Akibatnya jalan diseluruh CH menjadi terlalu sesak pada hari-hari tertentu. Ini menjejaskan kehidupan ramai penduduk-penduduk CH. Nak bergerak ke sana sini di seluruh CH terpaksa menempuhi kesesakan jalanraya seperti di KL pula. Ini menyebabkan Acik rasa tak seronok lagi tinggal di CH sekarang. Ya, tak macam dahulu lagi.

Kesesakan yang melampau berlaku dalam musim cuti sekolah, pada hujung-hujung minggu dan pada hari-hari cuti umum. Acik percaya, pelancong yang datang berduyun-duyun pun ramai yang merasa tidak berbaloi datang ke CH ketika itu. Masing-masing terperangkap dalam kenderaan sendiri berjam-jam. Nak singgah membeli belah pun tak boleh sebab tak ada parkir yang masih kosong.

CH nak jadi macam Mekah kut

Mekah sangat ramai ketika musim haji. Tapi di luar musim haji Mekah dan Madinah menjadi lengang. Kalaulah kerajaan Saudi tak menghadkan bilangan umat Islam yang dibenarkan menunaikan fardu haji, urusan mengerjakan rukum Islam yang kelima itu tentu akan menjadi tidak efisyen. Malah, mungkin ramai yang ke Mekah tapi gagal menunaikan ibadat haji akibat kesesakan yang melampau.

Memahami realiti tersebut, maka kerajaan Saudi pun tiada jalan lain melainkan menghadkan pengeluaran visa haji. Ini adalah satu tindakan yang wajar lagi praktikal. Malah ia terpaksa dibuat begitu demi kemaslahah umat Islam sejagat.

Acik percaya bahawa satu masa nanti MDCH (Majlis Daerah Cameron Highlands) juga akan terpaksa mempraktikkan apa yang dilakukan di Mekah dalam musim haji. Mekah menghadkan bilangan Jemaah dalam musim haji. Maka apakata MDCH pula menghadkan bilangan kenderaan yang memasuki CH dalam musim cuti sekolah, pada hujung minggu dan pada hari-hari cuti umum.

Acik penuh yakin bahawa pelancong yang berkunjung ke CH tidak rela terperangkap dalam kenderaan masing-masing akibat kesesakan jalanraya yang melampau. Mereka akan serik, untuk naik lagi bercuti di CH. Bagi menafikan kenyataan Acik ini silalah lakukan satu kaji selidik.

Oleh itu, menghadkan bilangan kenderaan naik ke CH dalam satu-satu masa bukanlah bermakna tidak menggalakkan ramai pelancong bercuti di CH. Sabaliknya ia adalah satu usaha untuk menjamin setiap kunjungan mereka ke CH tidak sesia, malah lebih bermakna (berbaloi).

MDCH boleh membangunkan satu sistem pengawalan kenderaan yang masuk/keluar CH dengan menyediakan satu applikasi khusus yang efisyen. Pas lawatan ke CH boleh dipohon oleh bakal-bakal pengunjung melalui online. Kemudian Pas lawatan yang diluluskan oleh pihak MDCH itu bolehlah dicetak di atas kertas A4 untuk dipamerkan di dalam kenderaan sebelum melalui pintu-pintu masuk ke CH yang berkawal.

Pengunjung hanya perlu bayar RM10 (misalnya) saja bagi satu pas lawatan sebagai kos perkhidmatan. Pas lawatan itu juga adalah sebagai ganti kepada kupon parkir yang diperkenalkan oleh MDCH sejak beberapa tahun yang lalu. Ia laku bagi tempoh pengunjung dibenarkan berada di CH sahaja.

Tujuan penghadan bilangan kenderaan masuk ke CH adalah juga untuk mendorong pengunjung naik ke CH ketika bilangan kenderaan masih kurang. Dengan kata lain, jika pas lawatan ke CH untuk tarikh yang dipohon itu mendapat kelulusan, ia bermakna tarikh itu masih sesuai untuk bercuti di CH. Begitulah sebaliknya.

Untuk lebih detail tentang konsep dan kaedah implimentasi pas lawatan ke CH tersebut, pandai-pandai pakar-pakar komputer MDCH fikiran. “Kalau hendak serba boleh, kalau tak hendak serba daleh”.

CH akan bertambah popular

Acik penuh yakin bahawa CH akan bertambah popular bagi pelancung selepas sistem penghadan bilangan kenderaan masuk ke CH dilaksanakan. Dan bagi majoriti penduduk CH pula, mereka pasti akan merasa amat lega. Mereka taklah lagi stress (rasa tertekan) kerana tidak lagi sering menghadapi kesesakan jalanraya yang melampau seperti sekarang.

Peluang-peluang pekerjaan di CH juga akan bertambah apabila CH dikunjungi lebih ramai pelancung di sepanjang minggu. Buat masa sekarang CH menerima terlampau ramai pengunjung pada musim cuti dan hari-hari tertentu saja. Tapi pada hari-hari biasa CH lengang saja. Walaupun hotel menawarkan diskaun sehingga 50%, namun bilik-bilik hotel masih banyak yang tak terjual.

Dasar kerajaan Saudi menghadkan bilangan umat Islam dari seluruh dunia menunaikan haji setiap tahun bolehlah dijadikan iktibar. Sekarang ini Mekah dan Madinah bukan saja menerima kunjungan umat Islam yang ramai dalam musim haji saja, bahkan di sepanjang tahun.

Wallahua’lam 🍓

PenCERAHan yg popular ⬇️

.

PenCERAHan yg relevan ⬇️

Solat: jika nak serba boleh https://shalleducate.wordpress.com/2022/09/19/solat-jika-nak-serba-boleh/

Lain-lain PenCERAHan ⬇️

https://beappreciative.wordpress.com

https://4uni2c.wordpress.com

Blog utama ⬇️ http://www.4uni2c.com

Malam di Cameron Highlands (T.Rata)

Leave a comment